Sudah Ada Skill untuk Ditawarkan? Dapatkan Klien Pertama Sekarang!
5 Langkah Praktikal Untuk Mulakan Karier Freelance Awak
Masa Bacaan: 4 minit
Awak mempunyai skil dan kemahiran yang berharga untuk ditawarkan sebagai seorang freelancer, tetapi masih tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan klien pertama awak?
Saya sarankan awak baca perkongsian saya mengenai “3 cara untuk mendapatkan klien freelance pertama” ini dahulu, sebelum meneruskan pembacaan.
Dalam penulisan minggu ini, saya ingin berkongsi langkah-langkah praktikal yang boleh terus dilakukan untuk membantu awak mendapatkan klien pertama, dengan cara yang teratur dan sistematik.
1. Merisik ‘Circle-of-relationship’
Langkah pertama adalah dengan menghubungi dan bertanya mereka yang berada di dalam persekitaran pergaulan awak (ahli keluarga, jiran-tetangga, saudara-mara, rakan-rakan, dan juga kenalan-kenalan di seluruh platform media sosial).
Mereka mungkin mempunyai keperluan atau projek yang sesuai dengan kemahiran awak.
Beritahu mereka tentang perkhidmatan yang awak tawarkan dan pelawa mereka untuk berbincang sekiranya mereka berminat dan terbuka untuk mendengar.
Ini adalah cara yang mudah kerana sekiranya mereka memerlukan servis awak, kerja freelance awak sudah boleh terus dimulakan.
Namun, sekiranya mereka tidak memerlukan servis awak, usah bimbang kerana awak sebenarnya tidak rugi apa-apa.
Kelak apabila mereka memerlukan servis awak, mereka sudah mengetahui tentang ‘kewujudan’ awak dan mereka sendiri yang akan menghubungi awak.
Untuk permulaan, tawarkan sahaja servis awak secara percuma.
Ya, percuma!
Ilmu dan pengalaman yang akan diperolehi lebih tinggi nilainya kerana ia akan dapat digunakan untuk projek-projek seterusnya.
Mereka akan dapat servis awak secara percuma, manakala awak akan dapat klien pertama, ilmu, pengalaman, dan juga ulasan jujur yang dapat dilanjutkan untuk membuat promosi mengenai servis awak kelak.
Seorang freelancer perlu berpandangan jauh untuk memanfaatkan strategi ini lebih-lebih lagi pada fasa awal.
2. Fahami Masalah
Semasa sedang berhubung dengan klien, tanya dan fahamkan keperluan atau masalah yang mereka hadapi.
Pendekatan ini akan membantu awak untuk mengenalpasti bagaimana skil dan kemahiran awak boleh membantu mereka.
Dengar dengan teliti dan pastikan awak memahami masalah mereka sebelum melangkah ke langkah seterusnya.
Ulangkan kembali masalah atau keperluan yang mereka hadapi, untuk memastikan kedua-dua belah pihak berada di halaman yang sama.
Analoginya mudahnya, cuba ingat kembali keadaan sewaktu kita memesan makanan di kedai mamak.
Pekerja yang bagus akan mengulang kembali pesanan kita untuk memastikan tiada ralat atau ‘miscommunication’ sebelum kerja-kerja ‘memasak’ dimulakan.
Terapkan nilai baik ini supaya skop kerja menjadi jelas dan awak dapat memberikan komitmen sepenuhnya tanpa membazir masa dan tenaga.
Boleh rujuk tulisan terdahulu saya mengenai “3 Tips Bercakap Dengan Bakal Klien“ untuk tahu lebih lanjut mengenai cara berkomunikasi dengan klien awak.
3. Selesaikan!
Setelah awak memahami dan mengenalpasti masalah yang perlu diselesaikan, tawarkan penyelesaian yang sesuai dan berkualiti.
Berikan fokus terbaik anda untuk menyelesaikan masalah.
Sekiranya awak berjaya menyelesaikan masalah klien dengan cemerlang, awak akan meninggalkan kesan yang baik.
Baik untuk klien bermakna baik untuk awak juga.
Pastikan awak berikan perkhidmatan terbaik dan hasil yang memuaskan untuk klien awak.
“Quality is more important than quantity.”
4. Minta Ulasan Jujur (Honest Review)
Setelah klien berpuas hati dengan perkhidmatan yang awak berikan, jangan malu untuk meminta ulasan positif daripada mereka.
Ulasan jujur adalah aset yang berharga di dalam dunia freelancing.
Ia boleh membantu membina reputasi awak dan juga memberikan keyakinan kepada bakal klien yang lain.
Pastikan awak berkomunikasi dengan sopan dan profesional ketika meminta ulasan.
Sekiranya ada klien yang tidak mahu memberikan ulasan (mungkin sibuk atau tidak mahu diketahui orang), awak boleh menawarkan promosi yang sesuai untuk mereka seperti memberikan diskaun untuk projek-projek seterusnya.
Kemudian, tambah baik kualiti servis awak berdasarkan ulasan-ulasan yang diterima.
Dengan cara sebegini, skil dan kemahiran awak juga akan berkembang sejajar dengan projek-projek yang awak telah berjaya siapkan.
Bak kata pepatah; “Sambil menyelam minum air!”
5. Promosi!
Sebagai freelancer, awak perlu bijak mempromosikan skil dan kemahiran awak.
Salah satu cara mudah adalah dengan memanfaatkan ulasan-ulasan jujur yang telah awak terima.
Gunakan platform media sosial, laman web peribadi, atau platform freelancing untuk mempromosikan diri awak.
Ulasan-ulasan positif boleh menjadi alat pemasaran yang sangat berkesan.
Apabila bakal klien melihat perkhidmatan berkualti yang telah awak berikan, dan juga ulasan-ulasan positif yang awak perolehi, mereka akan lebih cenderung untuk memilih awak sebagai freelancer.
Boleh rujuk “3 Cara Promosi Diri Di Media Sosial” dan “5 Template Untuk Kongsikan Kerja Awak Di Media Sosial“ untuk mengetahui betapa pentingnya promosi di dalam dunia freelancing dan juga cara-cara tambahan untuk mempromosikan diri awak di media sosial.
Akhir kata, sekiranya awak mempunyai kemahiran untuk ditawarkan sebagai seorang freelancer, langkah-langkah di atas ini adalah kunci untuk mendapatkan klien pertama awak.
Awak boleh ulang kembali langkah yang pertama dan ikut turutan selanjutnya untuk mendapatkan klien yang seterusnya.
Ingat, kejayaan dalam freelancing bergantung pada kemampuan awak untuk menyelesaikan masalah klien dengan cemerlang dan juga cara awak membangunkan reputasi yang baik.
Dengan komitmen dan usaha yang konsisten, insya-Allah awak boleh mencapai matlamat awak dalam masa yang singkat.
Selamat mencuba!
Kalau awak ada sebarang soalan berkaitan freelance, awak boleh DM saya terus atau melalui NGL (anonymous)
Kalau awak dah bersedia untuk bertindak, ada 2 cara saya boleh membantu:
→ Jika awak masih tak pasti apa itu freelance dan gambaran keseluruhan dunia freelancing, saya syorkan awak bermula dengan sumber percuma:
Zero To Freelancer Roadmap: Belajar apa itu freelance, mindset seorang freelancer, 3 elemen penting freelance, 5 fasa dalam perjalanan freelance dan banyak lagi.
Penulisan terdahulu dan thread X yang boleh membantu awak bermula sebagai freelancer.
→ Jika awak dah mula freelance tapi masih belum menjana income, dapatkan panduan mudah ini untuk mula jana pendapatan dari RM300 pertama awak hingga ke ribuan ringgit sebulan:
Kursus Video RM300 Pertama: Belajar kenal pasti skil apa untuk ditawar kepada klien, belajar cara nak dapatkan 3 klien pertama dan 5 strategi jana RM300 pertama sebagai freelancer.