3 Tips Caj Upah Freelance 10 Kali Ganda
3 langkah untuk tingkatkan caj upah freelance awak sebanyak 10 kali ganda
Masa Bacaan: 5 Minit
Izinkan saya mulakan tulisan minggu ini dengan kisah saya naikkan kadar upah freelance sebanyak 10 kali ganda dalam masa beberapa bulan sahaja.
Masa saya berumur 14 tahun dulu, saya pernah caj RM100 untuk buat custom HTML template menggunakan Blogspot.
Banyak juga amaun RM100 saya fikir dulu sebab dengan satu kerja freelance, saya berjaya kumpul duit macam amaun duit raya.
Tapi dulu saya tak fikir berapa saya nak caj sangat sebab memang niat nak tolong kawan untuk buat landing page bagi perniagaan dia.
Fast foward ke 2 tahun lepas ketika saya mula serius menjadi seorang freelancer, saya ada buatkan website WordPress untuk seorang rakan.
Ketika itu saya mula caj RM500 sahaja.
Website WordPress itu termasuk juga e-commerce dan juga crowdfunding untuk kutip derma bagi program kebajikan.
Selepas itu, ada seorang klien minta saya buatkan website bagi perniagaan insuransnya.
Saya mula beranikan diri untuk naikkan caj freelance saya kepada RM2,000 (4 kali ganda!).
Walaupun pada waktu itu saya tahu ada developer yang hanya caj RM500 untuk buat website yang sama.
Banyak juga soalan dia tanya kenapa caj sehingga RM2,000.
Tapi saya berani kerana saya tawarkan pengalaman dan kepakaran kepada dia.
Saya bukanlah seorang freelancer yang hit and run.
Atau pun seorang freelancer yang hanya ikut sahaja arahan klien tanpa menasihati klien perkara yang betul dan yang tidak betul.
Dia pun bersetuju dan banyak juga perkara saya bantu dia, bukan hanya web design sahaja.
Kemudian, beberapa bulan selepas itu saya berani naikkan kadar upah freelance saya dari RM2,000 hingga ke RM20,000 (10 kali ganda!).
Saya berjaya naikkan kadar upah freelance saya 10 kali ganda kerana saya ubah cara saya berfikir dan mula bertindak mengikut 3 langkah yang ada di bawah.
Tipulah kalau saya cakap saya tak menggigil masa nak hantar quotation kepada klien itu.
Memang jauh betul naik 10 kali ganda itu sebenarnya tapi saya rasakan saya layak kerana saya yakin yang klien boleh jana lebih banyak dengan servis saya.
Selepas klien ini bersetuju, saya menjadi lebih berani untuk naikkan caj upah freelance saya dari RM20,000 hingga ke RM40,000+ untuk klien-klien selepas itu.
Ya, skop projek tidaklah sama dan kerjanya pun bertambah juga.
Tapi tak semua freelancer yang saya kenal berani untuk caj kadar upah sebegini walhal mereka tawarkan servis dan akan buat kerja yang sama seperti saya.
Jadi, dalam tulisan ini saya akan kongsikan cara saya lakukannya secara percuma kepada awak.
Dengan harapan awak bertindak dengan tips di bawah ini dan berani caj harga yang setimpal dengan nilai yang awak tawarkan kepada klien awak.
1) Lain niche, lain kadar upahnya
The riches are in the niches.
Masa saya mula mengkaji cara untuk naikkan kadar upah freelance saya, saya mula membaca berbagai buku dan tonton bermacam video yang ada di Internet.
Lama kelamaan, saya kenal pasti adanya satu pattern iaitu kebanyakkan konten ini menyentuh ‘niche’ atau bidang yang awak ceburi.
Contohnya, saya seorang freelance developer yang membantu klien SME dengan membina customised sistem untuk perniagaan mereka.
Di sini ada 2 elemen penting iaitu siapa klien saya dan apa servis yang saya tawarkan.
Kalau awak boleh tanya diri awak 2 elemen ini, maknanya awak dah tahu apa niche awak.
Tapi kalau tidak, awak kena kaji siapa klien awak dan apa kelebihan yang ada pada awak yang tidak ada pada orang lain.
Bunyi macam rumit, kan? Tapi sebenarnya ia tidaklah serumit yang disangka.
Awak hanya perlu tanya diri awak secara mendalam dan belajar daripada tindakan freelancer lain yang berjaya di luar sana.
Tapi poin saya di sini, ada niche yang akan tawarkan awak 10 kali ganda pada servis yang sama berbanding niche yang lain.
Antara langkah pertama awak, awak boleh cari niche yang menjana jutaan ringgit.
Awak perlu pergi kepada mereka ini dan tawarkan servis awak.
Saya ada sebut dalam roadmap sebelum ini yang lagi tinggi sumbangan awak kepada keuntungan klien awak,
Lagi tinggi jumlah RM yang akan dibayar kepada awak.
Saya kesian melihat freelancers yang cuba untuk bantu klien tapi klien mereka tak mampu nak bayar mereka dengan harga yang setimpal.
Tak salah langsung tapi kalau awak terdesak perlukan wang, awak perlu cari mereka yang ingin dan mampu bayar awak.
Ada klien yang sanggup bayar awak RM10,000 tapi mereka hanya mampu bayar awak RM1,000.
Mula kenal pasti niche yang mampu bayar awak, bukan sahaja masa awak tetapi kepakaran awak.
2) Jual ‘kepakaran’ dan bukannya ‘masa’
Selepas awak dah jumpa niche yang lumayan, awak perlu position diri awak sebagai mereka yang pakar.
Saya dulu bermula dengan RM100 sebelum saya berjaya caj seperti hari ini.
Dan tidak mustahil awak juga akan capai perkara yang sama.
Tapi untuk berjaya, awak perlu menjadi seorang yang dilihat sebagai ‘pakar’.
Itu sahaja caranya, melainkan awak sanggup ambil 10 klien sebulan (RM1,000 x 10 klien).
Tapi saya tak sarankan kerana awak akan burnt out dan tak boleh fokus untuk siapkan kerja mereka semua dalam tempoh yang singkat.
Ini tak ambil kira klien yang selalunya bayar murah ini akan lebih cerewet berbanding klien yang bayar mahal.
Tapi bagaimana nak jual ‘kepakaran’ ini?
Untuk jual kepakaran awak, awak perlu berikan pendapat dan nasihat kepada klien awak.
Bantu selesaikan masalah klien awak sebaik mungkin.
Awak sebenarnya dibayar premium untuk ‘berfikir’ dan bukan sahaja melaksanakannya (masa awak).
Contohnya, awak akan caj RM10,000 dan upah (masa) awak hanyalah RM2,000 sahaja tapi dengan buah fikiran awak, awak dibayar RM8,000 tambahan.
Memang tak masuk akal tapi itulah hakikatnya.
Kebanyakkan klien yang mampu bayar mahal sebenarnya nak awak fikirkan untuk mereka.
Mereka hanya mahu bayar dan bersedia nak bayar mahal kalau awak boleh bantu mereka sepenuhnya.
Mereka tak ingin pening-pening kepala fikir cara terbaik nak selesaikan masalah itu.
Mereka nak bayar awak terus dan tahu yang awak akan berjaya selesaikan masalah itu.
3) Portfolio & pengalaman menjadi penentunya
Tak mengapa kalau awak mula caj rendah di awal-awal karier freelance awak.
Kebanyakkan orang pun begitu, melainkan awak memang sudah dikenali di dalam industri awak sebelum awak mula freelance.
Jika awak memang dah famous, tak mustahil untuk awak caj harga yang tinggi.
Tapi kenapa awak boleh caj harga yang tinggi walaupun awak tak pernah ada klien freelance?
Kerana orang melihat awak sebagai seorang yang pakar dan berpengalaman.
Portfolio ini penting tetapi orang yang tiada ‘portfolio’ pun boleh caj harga yang lebih tinggi.
Kerana apa?
Kerana orang tahu awak dah ada ‘portfolio’ iaitu pengalaman awak.
Sama juga kalau awak bukanlah orang yang dikenali di kalangan klien awak.
Tak mengapa, mulakan satu langkah iaitu dapatkan klien terawal.
Bina portfolio awak dari satu klien ke klien seterusnya.
Semua orang ada jalan masing-masing dan percaya yang adanya rezeki untuk awak dan keluarga awak.
Apabila klien lihat portfolio awak, mereka sebenarnya ingin melihat sejauh mana pengalaman awak membantu klien seperti diri mereka.
Dari situ, mereka akan ‘asingkan’ awak sebagai seorang pakar atau seorang pemula freelance.
Jangan terkejut kalau kerja yang sama dibayar dengan kadar upah yang berkali-kali ganda kepada freelancer ‘berpengalaman’ berbanding pemula freelance.
Mungkin hari ini awak masih beginner tapi selepas beberapa bulan, awak akan menjadi seorang yang pakar.
Saya doakan yang usaha dan kesabaran awak akan dibayar dengan ganjaran yang setimpal, insya-Allah.
Semoga tips minggu ini membantu awak meningkatkan kadar upah freelance awak.
Semoga kita berjumpa lagi pada minggu hadapan.
Kalau awak ada sebarang soalan atau perlukan bantuan berkaitan freelance, awak boleh DM saya terus atau melalui NGL (anonymous)
Kalau awak dah bersedia untuk bertindak, ada 2 cara saya boleh membantu:
→ Jika awak masih tak pasti apa itu freelance dan gambaran keseluruhan dunia freelancing, saya syorkan awak bermula dengan sumber percuma:
Zero To Freelancer Roadmap: Belajar apa itu freelance, mindset seorang freelancer, 3 elemen penting freelance, 5 fasa dalam perjalanan freelance dan banyak lagi.
Freelancing For Dummies (kompilasi penulisan terdahulu)
Thread X yang boleh membantu awak bermula sebagai freelancer.
→ Jika awak dah mula freelance tapi masih belum menjana income, dapatkan panduan mudah ini untuk mula jana pendapatan dari RM300 pertama awak hingga ke ribuan ringgit sebulan:
Kursus Video RM300 Pertama: Belajar kenal pasti skil apa untuk ditawar kepada klien, belajar cara nak dapatkan 3 klien pertama dan 5 strategi jana RM300 pertama sebagai freelancer.