Takut nak freelance sebab rasa diri tak bagus? Ini 5 ubatnya.
Tak pasti kalau skill kita dah cukup bagus untuk bantu bakal client?
Masa bacaan: 4 minit
Ramai orang nak kerja dari rumah, nak kerja ikut masa sendiri.
Dan paling penting nak jana pendapatan melalui skill yang mereka ada.
Tapi hakikatnya tak ramai orang jadi freelancer kerana mereka takut.
Takut sebab tak rasa diri layak untuk bantu client.
Takut sebab tak rasa ‘pakar’ yang tahu segalanya.
Saya mula-mula dulu pun takut. Rasa diri ini kecil.
Tapi alhamdulillah, saya sekarang tak takut dah.
Saya kongsikan 5 ubat penawar ketakutan ini kepada awak.
InshaAllah berkurangnya ketakutan itu dan awak boleh mulakan langkah pertama ke dunia freelance hari ini juga.
Tapi jangan lupa baca Zero To Freelancer Roadmap dulu, mana tahu kalau ada benda yang kita terlepas pandang apabila nak mula jadi freelancer.
1) Honesty is the best policy
Kita takut nak mula sebab kita takut kepada sesuatu yang tak pasti berlaku.
Kita takut kita akan gagal untuk deliver job freelance kita dan tak akan dapat job lain di masa akan datang.
Saya rasa ini normal dan kadang-kadang dari awal kita boleh tahu kalau kita boleh deliver atau tidak.
Saya jenis yang jujur atau berterus terang dengan bakal client.
Kalau saya tak boleh buat, saya cakap terus dan minta pendapat mereka berdasarkan apa yang saya boleh buat.
Dan kalau mereka masih inginkan servis tersebut, saya terus recommend job tersebut kepada rakan freelancer yang lain.
Di masa akan datang, client yang sama akan offer kita mengikut tahap skill kita atau kita boleh approach dan mereka akan berterima kasih atas bantuan kita masa awal-awal dulu.
Mungkin kadang-kadang ada perkara yang client minta dan perkara tersebut perkara baru untuk kita.
Jadi kita kena belajar lebih kuat untuk pastikan kita tahu semua benda yang kita patut tahu.
2) Semua orang bermula dari bawah
Perkara ini nampak mudah tapi saya sendiri pun terlupa kadang-kadang bila tak rasa yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Semua orang start from somewhere dan kalau kita fikirkan sebenarnya Albert Einstein yang genius itu pun dulu budak yang tak reti membaca.
Sama juga macam kita.
Kita tak ada skill nak dijual?
Kita baca buku, kita Google tutorial yang ada, kita tengok YouTube atau,
Kita belajar dari orang yang tahu skill itu.
Sebab itu saya masukkan gambaran keseluruhan fasa-fasa sebagai seorang freelancer dalam Zero To Freelancer Roadmap.
Sebab saya dah lalui peritnya langgar dinding dan tercari-cari hala tuju.
Perkara ini penting untuk kita tahu di mana kita berada.
Dan dari situ baru kita boleh tahu apakah langkah seterusnya untuk kita maju ke hadapan.
3) Dokumenkan perjalanan sebagai freelancer
Perkara ini saya ada sentuh di Twitter thread berkenaan documenting the journey.
Memang betul, kita tak boleh jadi ‘pakar’ dengan hanya kongsi di media sosial sahaja.
Tapi apa yang kita boleh buat adalah dengan menjadi go-to person kenalan kita berkaitan satu-satu skill itu.
Kalau tak boleh kongsi hari-hari, kongsikan seminggu sekali tentang apa kerja freelance yang kita tengah buat.
Tak kisah sama ada untuk client atau sekadar portfolio sahaja.
Dan kita juga boleh kongsikan apa perkara baru yang kita belajar untuk kita tingkatkan mutu servis freelance kita.
Hasil dari perkongsian kita di media sosial, secara tidak langsung akan menambahkan credibility kita dan orang akan mula kenal kita.
Dan lama-kelamaan kita akan dilihat sebagai seorang yang 'pakar'.
Kenapa pentingnya menjadi seorang yang credible? Ianya terkait dengan kepercayaan bakal client kepada kita. Boleh rujuk Zero To Freelancer Roadmap.
Boleh juga lihat contoh tweet ini masa awal-awal saya bangunkan Queuelah.
4) Jangan bagi bakal client menyesal
Kita selalu remehkan kemampuan diri sendiri dan saya tak berkecuali.
Sebab itu kita takut nak tunjukkan kemampuan kita kepada orang lain.
Awal-awal nak share mungkin akan rasa awkward sikit tapi lama-lama nanti dah terbiasa dan tak rasa takut atau awkward nak share.
Disebabkan saya takut masa awal-awal dulu, bakal client ini menyesal sebab tak kenal saya masa awal-awal dulu.
Beliau menyesal sebab freelancer sebelum ini tak berjaya deliver seperti yang diharapkan.
Jadi dengan berkongsi, kita boleh elakkan client untuk menyesal di hujung hari dan kita pun dapat bantu client untuk selesaikan masalah mereka.
5) Ikhlaskan diri untuk membantu client
Saya faham yang kita freelance sebab kita nak buat duit.
Tapi kita kena tahu yang client bukan boleh senang-senang nak beri kita duit.
Kita kena betul-betul bantu mereka selesaikan masalah mereka.
Berbalik kepada ubat pertama iaitu jujur dan berterus terang kalau tak boleh buat sesuatu, kita terus recommend orang lain atau bagi solusi alternatif yang ada.
Di sini kita mula bina hubungan yang baik (rapport) dengan bakal client kita ini.
Dan tambah kepercayaan mereka terhadap kita.
Kerana apa?
Kerana kita dah bantu mereka walaupun mereka belum bayar apa-apa.
Kerana kita betul-betul nak bantu selesaikan masalah mereka.
Tapi jangan risau kalau kita rasa rugi atau menyesal sebab berterus terang.
Rezeki itu sudah tertulis untuk kita.
Kita yakin yang apabila kita bantu orang, Tuhan akan bantu kita melalui client-client lain yang akan bayar kita setimpal dengan niat dan usaha kita.
Apabila kita bantu orang, kita juga akan bantu diri kita sendiri.
Penutup
Perkara paling penting adalah dengan mulakan langkah pertama awak untuk menjadi seorang freelancer.
Kalau kita tak mula langsung, kita tak akan capai apa yang kita impikan.
Mula dengan langkah kecil ke hadapan.
InshaAllah dengan satu langkah ke satu langkah, awak mampu capai apa yang awak inginkan.
Semoga perkongsian ini dapat buat awak bermula sebagai freelancer.
Antara tweet yang boleh membantu awak
Sekiranya terdapat sebarang soalan, boleh ajukan di NGL atau Twitter saya.
InshaAllah saya cuba bantu semampu yang boleh.
Jika tulisan ini bermanfaat buat awak, jangan lupa kongsikan juga kepada yang lain.