Assalamualaikum dan selamat hari raya!
Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis tips mingguan di Soloers.
Sebenarnya beberapa bulan yang lalu saya ada buat sedikit soul-searching mengenai Soloers ini sendiri.
Banyak buku telah saya baca dan video yang telah saya tonton untuk memeta semula hala tuju Soloers.
Dari aspek pengisian tips mingguan hinggalah kepada pembangunan komuniti.
Di bawah ini 3 pengumuman yang saya harap dapat menjawab persoalan yang awak ada mengenai Soloers.
1. Penjenamaan Semula
Laman web rasmi Soloers.com dan juga nama Soloers akan diubah kepada nama baru yang akan diumumkan kelak.
Kenapa saya pilih untuk ubah?
Ramai yang takut bila dengar perkataan ‘solo’.
Awak sendiri mungkin takut apabila fikir ‘solo’ bermaksud freelance seorang diri atau mulakan perniagaan sendiri.
Tak semua orang ingin menjadi solopreneur.
Awak juga mungkin nak mulakan perniagaan bersama pasangan/rakan. Saya sendiri dah tak boleh kata diri saya solopreneur kerana sudah menjadi partner kepada syarikat penghantaran hari yang sama (same day delivery) iaitu PostoMove.
Bunyi ‘Soloers’ tak ada umph.
Bagi saya, nama ini tak ada impak atau objektif yang jelas tapi mungkin tidak bagi awak? Tapi yang ini memang salah saya sebab nak cepat decide untuk guna nama Soloers pada tahun lepas.
Sebenarnya, dah beberapa hari saya sibuk fikirkan nama baru yang lebih sesuai.
Kalau awak ada cadangan nama baru, boleh reply di e-mel ini sekarang.
PERHATIAN KEPADA PESERTA KURSUS VIDEO RM300 PERTAMA:
Laman Soloers.com akan ditutup mulai 6/5/2024.
Awak boleh teruskan menonton kursus video melalui laman sementara. (https://soloers.vercel.app/)
Video 'Seni Bercakap Dengan Bakal Klien' juga akan dimuatnaik pada laman baru nanti.
2. Hala Tuju Pengisian
Secara jujurnya, setelah menulis tips mingguan selama 9 bulan berturut-turut, saya sendiri dah tak tahu nak tulis apa lagi.
Saya dah tulis segala yang saya lalui mengenai freelancing dalam bentuk actionable tips tapi saya yakin pasti ada lagi benda yang saya tak terfikir untuk tulis.
Terima kasih kepada mereka yang sudi DM dan reply emel saya sebelum ini untuk ajukan cadangan topik penulisan di sini.
Jadi, saya ambil keputusan untuk menghentikan penulisan mingguan buat sementara waktu sehingga proses penjenamaan ini selesai.
Ini adalah kerana penjenamaan semula ini juga akan berkait dengan hala tuju pengisian yang baru.
Pada masa akan datang saya akan lebih fokuskan kepada fasa peralihan dari seorang freelancer kepada pemilik perniagaan kerana saya fikir seorang freelancer sedang berada di suatu fasa dalam membangun perniagaannya sendiri.
Jangan risau kerana semua tulisan tips mingguan freelance terdahulu masih akan ada seperti biasa di Substack Soloers.
Kerana perjalanan saya sendiri pun bermula sebagai seorang freelancer yang menyelesaikan masalah klien dan kemudiannya mendapat idea untuk menjual produk & servis sebagai seorang pemilik perniagaan Software as a Service (SaaS).
Freelancing hanyalah satu anak tangga yang perlu kita lalui untuk belajar kemahiran membina perniagaan sendiri seperti mengurus klien, dokumen berkaitan dan mencari klien atau pelanggan.
Akan tetapi kita perlu naik lagi satu anak tangga untuk kecapi kebebasan hidup gaya sendiri yang kita idamkan.
“Tapi kenapa saya perlu bangunkan perniagaan?”
Kalau kita fikir balik, freelancing pun sebenarnya satu perniagaan sebab awak tawarkan servis kepada klien dan klien itu akan bayar awak dengan wang ringgit.
Itulah asas perniagaan iaitu awak exchange khidmat awak dan dengan balasan awak dibayar dengan usaha awak.
Tapi bagaimana awak nak capai kebebasan di atas itu tadi?
If your business depends on you, you don’t own a business — you have a job.
Kata-kata di atas ini sangat dekat di hati saya kerana matlamat asal saya menjadi seorang freelancer adalah kerana saya tidak ingin bekerja 9-5 atau erti kata lain, menjual masa demi RM.
Saya pernah sentuh perkara ini dalam penulisan terdahulu jika awak masih lagi ingat bahawa kelebihan freelance ialah income awak tiada had dan tiada waktu kerja tetap.
Namun begitu pada masa yang sama awak masih lagi menjual masa awak untuk menyiapkan kerja awak untuk klien.
Di sini wujudnya ikatan antara masa dan RM yang menghalang awak untuk mencapai kebebasan gaya hidup tadi.
Jadi, akan datang saya akan membawa awak dalam pengembaraan saya memutuskan ikatan ini insya-Allah.
Saya akan kongsikan pengembaraan saya untuk mencapai impian kebebasan daripada menjual masa demi wang dan biarkan hanya perniagaan kita bekerja untuk kita.
3. Pembangunan Komuniti
1 tahun yang lalu, saya mengimpikan suatu komuniti di mana kita semua dapat berkongsi cabaran, pengalaman dan pengajaran.
Sebagai tempat kita melaksanakan peer accountability untuk kita ingat-mengingati antara satu sama lain.
Tapi malangnya, akibat terlampau sibuk menyiapkan projek freelance saya sendiri, ianya gagal direalisasikan.
Gagal dari aspek perlaksanaan ‘komuniti’ kerana ketiadaan 2-way interaction antara ahli komuniti di Soloers ini.
Jadi sekarang apa yang berbeza?
Mulai April 2024, saya kini tidak lagi menerima projek-projek berskala besar dan hanya akan bantu klien sikit-sikit sekiranya saya berminat dengan idea projek tersebut.
Dan suku ke-2 tahun ini fokus saya hanya satu.
Iaitu untuk membangunkan komuniti untuk kita semua.
Alhamdulillah buat masa ini, saya hanya perlu luangkan 1 atau 2 hari seminggu untuk Queuelah dan PostoMove.
Insya-Allah berbaki 3 hari minggu, saya mampu usahakan untuk membina komuniti kita bersama.
Semoga maju jaya dan jumpa awak di tulisan seterusnya!
Sebarang cadangan/idea bernas boleh diajukan terus dengan reply emel ini atau hubungi saya terus di X.