3 kesilapan 'beginner' dalam freelance
Berserta langkah untuk mengelakkan perkara ini berlaku kepada diri kita
Masa Bacaan: 4 minit
Kebelakangan ini ramai juga yang tanya saya soalan-soalan berkaitan situasi di bawah.
Dan sering kali juga saya ternampak ramai freelancer membuat ‘kesilapan’ ini termasuk juga diri saya.
Tapi saya faham bahawa mereka yang baru nak freelance memang akan agak blur kalau berdepan situasi-situasi di bawah ini.
Sebab saya pun macam itu dulu.
Jadi, saya harap semoga tips minggu ini dapat mengelakkan awak untuk membuat kesilapan yang sama.
p/s: ada bonus tip di bawah dan selamat membaca!
1) Pastikan ada dokumen hitam putih
Situasi pertama ini saya kira mungkin ramai dah lalui kerana hanya bersetuju dalam WhatsApp atau borak di kedai kopi untuk ambil satu-satu job.
Tapi kalau kita nak konsisten menjadi seorang freelancer, kita kena mula adakan dokumen hitam putih bagi setiap job freelance kita.
Dan dokumen itu boleh ada dalam bentuk sebut harga (quotation), invois (invoice) dan juga perjanjian (agreement) atau kontrak (contract).
Saya akan kongsikan cara saya mendokumen semua dan template kepada awak nanti apabila kursus video RM300 Pertama dilancarkan.
Tapi kenapa penting untuk kita pastikan semuanya bertulis?
Sebab paling utama ialah kalau apa-apa jadi nanti, senang nak rujuk semula sebab telah didokumenkan.
Contohnya, ada klien A tawar pada awak job RM5,000 tapi selepas awak dah deliver 100% kerja, dia hanya bagi RM3,500 kerana dia cakap dia setuju untuk beri RM3,500 sahaja.
Atau klien B yang minta awak buat kerja ABC tetapi selepas 50% kerja siap, dia tukar fikiran dan nak awak tambah kerja ABC + XYZ tapi dengan harga yang sama.
Dan mungkin dia terlupa yang awal-awal dulu, awak hanya bersetuju nak buat kerja ABC sahaja.
Ini kita namakan dia sebagai ‘scope creep’, di mana klien ubah scope kerja yang dia mahukan dan expect kita untuk caj pada harga yang sama.
Tapi tak boleh ke kalau nak pakai screenshot sahaja?
Boleh juga pakai screenshot WhatsApp sebagai bukti tapi kena scroll dan silap hari bulan WhatsApp tak boleh nak dapatkan mesej tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Lebih selamat kalau ada dokumen untuk rekod semuanya.
Dan kalau sekiranya perlu ke makhamah atau ke pihak penguatkuasa, kita ada bukti dari segi undang-undang berdasarkan apa yang sudah tertulis dan dipersetujui.
2) Minta deposit walaupun sedikit
Situasi ini selalunya berlaku kepada mereka yang baru mula freelance dan takut untuk minta deposit (wang pendahuluan) daripada klien.
Tapi ada juga berani mencuba tapi tak tahu bagaimana nak anggarkan berapa % nak minta sebagai deposit.
Bagi saya, kiraan saya berpandukan:
Berapa jangka masa projek (lagi lama, lagi rendah %)
Berapa nilai keseluruhan projek (lagi tinggi, lagi rendah %)
Contohnya kalau projek 4-6 minggu saya akan minta 50% terus sebelum mula dan kalau projek 8-12 minggu saya akan minta 30-25% berdasarkan nilai projek.
Bukan apa, kita hanya mampu merancang dan walaupun klien dah bersetuju untuk bayar mengikut jadual pembayaran, ada kalanya klien ada masalah kewangan dan mungkin akan bayar kita lambat dan sebagainya.
Jadi, paling tidak cash flow bulanan kita tidaklah terganggu sangat kalau klien bayar kita lambat.
Dan sebab kedua, untuk mereka yang sudah ada projek bernilai puluhan ribu RM, deposit juga boleh dijadikan kayu ukur bahawa klien mampu bayar kita dan mempunyai kewangan yang stabil.
Tak ada lah nanti selepas 2 bulan projek bermula, klien tak mampu nak bayar kita.
Tapi yang paling penting untuk awak adalah untuk mula minta deposit bagi setiap job yang awak tawarkan walaupun sedikit dan juga nilai berapa % yang awak selesa untuk minta sebagai wang pendahuluan.
3) Masukkan klausa pembatalan dalam perjanjian
Saya doakan awak untuk tidak lalui perkara ini.
Tapi bagi mereka yang dah ada lebih 20 orang klien mungkin pernah lalui situasi ini.
Dan kepada mereka yang menyusun jadual pembayaran mengikut fasa kerja siap, besar kemungkinan akan hadapi situasi ini juga.
Contohnya, projek akan berjalan selama 6 bulan tapi pada bulan ke-3, klien tiba-tiba cakap nak batalkan projek atas sebab-sebab tertentu.
Kita sebagai freelancer pasti akan terkesan sebab kita dah block jadual kita untuk 6 bulan dan tak ambil klien yang perlukan servis kita dalam tempoh tersebut.
Jadi, sebelum kita terkesan dengan lebih teruk lagi, apa yang kita boleh lakukan adalah dengan memasukkan klausa pembatalan dalam perjanjian/kontrak kita.
Antara isi kepada klausa tersebut yang awak boleh letakkan adalah seperti:
Caj bayaran pembatalan sebanyak 30%-40% dari nilai keseluruhan projek
Pemulangan semula milik harta intelek (IP) untuk segala hasil kerja awak
Memang kalau boleh kita tak nak sampai terpaksa batal projek tapi kalau perkara ini berlaku, at least kita dapat sesuatu untuk survive pada bulan-bulan seterusnya.
BONUS: Jelaskan siapa pemilik hak harta intelek (intellectual property)
Sepanjang saya freelance saya tak pernah lagi lalui situasi ini tapi ada yang DM menanyakan apa yang akan lakukan kalau saya di tempat beliau.
Kisahnya begini.
Projek berjalan dengan baik tapi di hujungnya klien minta batal dan tiba-tiba mereka dah ada website baru menggunakan artwork/design dari hasil kerja beliau.
Di sini wujud pencanggahan hak harta intelek iaitu klien tidak sepatutnya menggunakan hasil kerja beliau, lagi-lagi dah batal projek dan tangguhkan bayaran.
Mungkin sebab klien rasa mereka dah bayar sedikit dan seterusnya ‘layak’ menjadi pemilik harta intelek tersebut.
Jadi kesimpulannya, awak kena fikirkan sama ada perlu atau tidak untuk jelaskan siapa pemilik harta intelek hasil kerja awak itu.
Kalau perlu, pastikan awak jelaskan siapa pemilik harta intelek itu di dalam dokumen bertulis yang dipersetujui kedua-dua pihak.